Friday, July 27, 2012


Rakyat sengsara pinjaman kereta, perumahan RM577 bilion

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dibebankan dengan hutang isi rumah tinggi mencecah RM577 bilion disebabkan harga rumah dan kereta yang mahal, menyaksikan rakyat terus dihimpit kesengsaraan, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.
Daripada jumlah itu katanya, RM118 bilion adalah berupa pinjaman kereta, RM225 bilion lagi pinjaman perumahan dan RM22 bilion pinjaman peribadi yang bersamaan 74% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sikap Umno BN dalam menangani masalah harga kereta dan perumahan yang mahal dihadapi rakyat adalah bukti ia tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Keadilan tengahari tadi.
Mengulas statistik yang dikeluarkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz November tahun lalu, Azmin turut menyatakan kebimbangan nisbah hutang isi rumah apabila hutang kerajaan kini melebihi kadar 50% KDNK.
“Keadaan ini merunsingkan kerana punca keberhutangan rakyat adalah pinjaman perumahan dan kenderaan keluarga yang menjadi sebahagian besar dari bayaran pinjaman setiap bulan oleh setiap keluarga di Malaysia.
“Secara langsung ini mengurangkan pendapatan boleh belanja rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menaikkan taraf hidup keluarga,” kata Azmin.
Justeru itu katanya, Pakatan Rakyat akan mencadangkan satu penyelesaian radikal dalam Dasar Automotif Negara yang akan dibentang pada sidang Ekonomi Pakatan Rakyat Mac ini.
Langkah ini bagi mengurangkan beban cukai yang dikenakan ke atas rakyat terhadap pembelian kereta yang kini berhadapan tiga jenis cukai iaitu cukai import, cukai eksais dan cukai jualan.
“Kereta yang paling kecil pun, dibawah 1500 cc dicukai sekurang-kurangnya 70 % cukai jika dipasang di Malaysia, iaitu 60 % cukai eksais dan 10 % cukai jalan.
“Ini bermakna bagi setiap kereta kecil yang dijual oleh Perodua dengan harga RM 40 000, sebanyak RM 16 500 cukai dibayar kepada kerajaan,” katanya.
Menurut Azmin, anggaran kasar sekurang-kurangnya 70 % dari jumlah hutang RM118 bilion pinjaman kereta yang ditanggung rakyat digunakan hanya untuk membayar cukai  tinggi yang dikenakan kerajaan.
“Ini satu penghinaan kepada rakyat yang terpaksa mengambil pinjaman untuk membayar cukai, sedangkan kerajaan mengecualikan kenderaan perdagangan dari cukai eksais- bukti bahawa Umn0/BN selama-lamanya meletakkan kepentingan perniagaan sebagai asas dasarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Azmin turut mengulas harga rumah yang tinggi, terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan keluarga muda, menyebabkan mereka terpaksa memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman.
“Bagi keluarga yang berpendapatan di bawah RM3000 sebulan, dianggarkan, dua pertiga daripada gaji mereka untuk membayar pinjaman rumah dan kereta, menyebabkan baki untuk perbelanjaan makanan, pakaian dan pendidikan menjadi terlalu kecil.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=6402

No comments: