Tuesday, July 24, 2012

Pandangan Dr.Tariq


Jangan sisih golongan bukan Islam yang berkebolehan – Dr Tariq


(Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 20 Julai: Agama dan latar belakang seseorang tidak terlalu penting dalam memegang sesuatu jawatan, sebaliknya kebolehan dan kesetiaan yang perlu diberi keutamaan, kata Dr Tariq Ramadan.
Cendikiawan Islam terkenal dunia itu turut memetik kisah Rasulullah yang melantik orang fasik dan bukan Islam untuk memegang jawatan penting semasa pemerintahan Baginda.
“Ada sahabat bertanya Baginda tentang pelantikan itu. Baginda menjawab kefasikannya adalah untuk dirinya sendiri tetapi kebolehannya untuk kita semua.
“Malah, Baginda turut melantik orang bukan Islam untuk menjalankan tugas yang boleh membahayakan nyawa Baginda sendiri,” katanya yang menyifatkan amalan itu wajar diamal dalam politik dan pentadbiran sesebuah negara.
Beliau berkata demikian pada program wacana bertajuk ‘Islam dan Reformasi Pemikiran Ummah’ di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut di sini, malam tadi.
Ia dimulai dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat hajat. Hampir 500 khalayak yang hadir terdiri daripada pimpinan parti, wakil badan bukan kerajaan dan anak muda dari pelbagai agama.
Skrin besar turut disediakan di luar rumah berikutan kehadiran luar biasa orang ramai dari pelbagai bangsa dan agama.
Selepas solat Isyak, syarahan dimulakan dengan Anwar menceritakan ringkasan buku terbaru Tariq, The Arab Awakening yang dilancarkan di Kinokuniya Kuala Lumpur baru-bau ini.
Pada sesi soal jawab, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar turut mengemukakan soalan.
Sivarasa bertanya mengenai konflik hubungan Syiah dan Sunni manakala Xavier berkenaan hukum jenayah dalam undang-undang Islam.
Pada program itu. Dr Tariq juga menyeru umat Islam menguruskan kepelbagaian yang ada dalam masyarakat dengan baik dan berhemah selaras tuntutan Islam.
Beliau berkata, menerima perbezaan agama lain tidak bermaksud umat Islam merendahkan prinsip agamanya sendiri, malah ia sebahagian tuntutan agama.
“Tentunya sebagai muslim kita yakin dengan kebenaran Islam tetapi kebenaran yang kita pegang itu sendiri berpesan supaya tidak menekan kebenaran yang diyakini orang lain. Hormati pegangan mereka dan tidak wujudkan perbezaan.
Mengambil contoh kisah Rasulullah pada zaman kedatangan Islam, Dr Tariq berkata, Baginda mengajak kaum Yahudi untuk bersaing mengenai ‘kebenaran’ dengan membuat kebaikan, bukan melalui diskriminasi sesama mereka.
Justeru, beliau berpesan kepada umat Islam supaya berhenti menggunakan agama sebagai alasan untuk menentang apa sahaja perbezaan yang wujud dalam masyarakat.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=33119

No comments: